Apa itu Pegangan Hartanah?

Ilmu yang Amir nak kongsikan ini dapat dari website GilaHartanah dan ia sangat berbaloi untuk kita tahu kerana ia dapat membantu kita menentukan hartanah bagaimana yang sesuai dengan tujuan kita.

Di Malaysia, ada berapa jenis pegangan hartanah iaitu:

1. Pegangan milik bebas (freehold),
2. Pajakan (leasehold), dan
3. Hakmilik Sementara (boleh jadi freehold atau leasehold).

1. Apakah maksud hartanah jenis pegangan milik bebas (freehold)?
Dalam kata yang mudah, pegangan milik bebas bermaksud pembeli adalah pemilik hartanah itu, tanpa ada kekangan untuk sebarang tempoh (maksudnya, ia adalah hakmilik kekal si pembeli).

Kalau nak lagi jelas, pegangan milik bebas tak perlu risau hartanah yang dibeli itu dipulangkan semula kepada pihak kerajaan. Tapi, ia bergantung sebab ada juga kes pengambilan balik tanah freehold oleh kerajaan, namun ia jarang berlaku.

Dalam dokumen hakmilik muktamad (atau panggilan lainnya, final title), hartanah freehold dikenali sebagai Geran. Ia juga ada 2 nama berlainan, sama ada Geran sahaja atau dipanggil Geran Mukim.

Anda boleh lihat contoh gambar geran di bawah ni:
Sumber: tipshartanah.com

Geran ini merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Negeri. Manakala Geran Mukim pula merujuk kepada hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah. Ia adalah 2 perkara yang sedikit berbeza.

2. Apakah pula maksud hartanah jenis pajakan (leasehold)?
Pegangan jenis leasehold pula adalah jenis pegangan ke atas sesuatu hartanah untuk tempoh masa yang telah ditetapkan. Ketika ini, tempoh pajakan yang biasa kita akan dengar untuk leasehold adalah selama 99 tahun.

Di negeri seperti Sabah & Sarawak, kita mungkin akan jumpa tempoh pajakan yang lebih lama. Manakala untuk jenis hakmilik lama atau tujuan selain kediaman, kita mungkin akan dapat tempoh pajakan untuk tempoh selama 30 atau 60 tahun. Tanah ini akan kembali jadi hakmilik kerajaan negeri apabila dah tamat tempoh pegangan.

Namun, ia perkara yang jarang berlaku. Biasanya, pemilik tanah leasehold ini akan diberi peluang untuk memperbaharui (atau panjangkan) tempoh pajakan ini. Pemilik perlu membayar sejumlah premium mengikut kadar nilai semasa yang telah ditetapkan.

Untuk memperbaharui tempoh pajakan ini, tak perlu tunggu sehingga tamat tempoh, baru kita boleh buat. Kita boleh sahaja memohon untuk panjangkan tempoh ini apabila ia jadi semakin pendek tempohnya (sekitar 30 atau 50 tahun). Kita boleh buat perkara ini di Pejabat Tanah. Petugas di Pejabat Tanah akan maklumkan kepada anda jumlah premium yang perlu dibayar, dan buat bayaran sebelum ia diluluskan.

Adakah dokumen leasehold lain daripada freehold?
Dokumen pegangan jenis pajakan juga ada pengenalan tersendiri mirip hakmilik freehold. Ia bergantung kepada status Pajakan atau Pajakan Mukim, sama seperti hartanah freehold.

Adakah banyak projek perumahan sekarang berstatus freehold?
Secara am, tanah yang digunakan untuk projek perumahan pada masa ini memegang status Pajakan. Ini sebab tanah yang ada sekarang dipinjamkan kepada oleh kerajaan kepada pemaju untuk dibangunkan. Hanya projek perumahan terdahulu yang tanah itu dimiliki oleh individu sahaja yang memiliki status freehold.

Apakah perbezaan antara hartanah jenis freehold dan leasehold dari sudut nilai?
Dari segi nilai pula, hartanah dengan ciri-ciri yang sama (tak kira rumah jenis landed, apartment, semi-d, atau sebagainya) mempunyai nilai yang lebih tinggi untuk pegangan freehold berbanding leasehold.

Selain itu, faktor lain yang akan mempengaruhi nilai hartanah adalah seperti permintaan (demand) hartanah. Ia juga bergantung kepada tempoh pindahmilik yang lebih panjang untuk hartanah leasehold, dan ini perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri untuk kerja pindahmilik yang boleh makan masa sehingga 1 tahun.

3. Apa pula maksud pegangan jenis Hakmilik Sementara?
Seperti yang dah dijelaskan sebelum ini, dokumen hakmilik muktamad akan gunakan nombor pengenalan seperti Geran, Geran Mukim, Pajakan, atau Pajakan Mukim.

Untuk pegangan jenis ini, nombor pengenalan yang mungkin anda pernah lihat adalah seperti H.S (D) 1234, atau H.S (M) 1234. Huruf pengenalan H.S ini merujuk kepada Hakmilik Sementara, dan huruf (D) dan (M) ini pula merujuk kepada Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah Daerah.

Ia boleh dijelaskan begini:

D (Daftar): Pejabat Pendaftar Negeri, dan
M (Mukim): Pejabat Tanah Daerah.
Ramai yang keliru dengan menganggap Hakmilik Sementara sama seperti hartanah leasehold.

Ini adalah 2 perkara yang berbeza. Ia boleh jadi pegangan bebas (freehold) atau pegangan pajakan (leasehold), dan ia boleh dirujuk dalam dokumen hakmilik.

Walaupun Hakmilik Sementara bukan dokumen hakmilik muktamad, ia tetap sah digunakan menurut segala butiran yang tercatit dalam dokumen itu, sehingga hakmilik muktamad dikeluarkan.

Hakmilik muktamad adalah hakmillik yang berdasarkan ukuran akhir (atau sebenar) daripada pihak Pejabat Tanah. Ada kemungkinan saiz ini akan sedikit berbeza daripada saiz dalam dokumen Hakmilik Sementara sebelum ini.

Semoga ilmu yang dikongsikan disini dapat memberi manfaat kepada rakan2 untuk membeli rumah.

Post a Comment

0 Comments